Orang ramai tidak melepaskan peluang menonton pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di salah sebuah kedai elektrik di sekitar Chow Kit, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 OKTOBER 2017

PETALING JAYA – Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Jumaat adalah pragmatik, kata Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan.

Beliau berkata, dengan sumber yang terhad berbanding harapan rakyat yang tidak terhad, kerajaan tidak mungkin melaksanakan ‘Bajet Pakatan Harapan’ yang menawarkan penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST), pendidikan percuma secara sepenuhnya dan perumahan untuk semua rakyat.

“Hakikatnya, kita hidup dalam dunia realiti yang berbeza dengan dunia Santa Claus.

“Dalam dunia realiti, tidak mungkin berlaku mukjizat; Najib juga tidak boleh bermain silap mata dalam Bajet 2018, atau mewujudkan kejutan yang terlalu besar,” kata pengarang dan penganalisis itu.

Katanya lagi, penurunan kadar cukai pendapatan merupakan ‘sinaran’ dalam Bajet 2018 dan ia turut menunjukkan kerajaan menepati janji untuk mengurangkan cukai.

Tian Yan bagaimanapun berkata, GST yang menjadi sumber kewangan utama kerajaan tidak mungkin dikurangkan, apatah lagi dimansuhkan.

Walaupun tidak menafikan Bajet 2018 sebagai ‘bajet pilihan raya’, pengarang itu bagaimanapun tidak melihat ia sebagai ‘bajet populis.’

“Dalam kata orang ramai, tidak terlalu banyak gula-gula yang ditawarkan dalam bajet ini dan ia tidak akan memberi kesan yang terlalu besar kepada pilihan raya.

“Inilah kelebihan bajet ini, ia merupakan bajet yang pragmatik. Memang tepat untuk pragmatik, tetapi ia kekurangan inovasi.” katanya.

Berlainan dengan Tian Yan, Pengarang China Press, Chen Si Yuan bagaimanapun melihat ‘ibu segala bajet’ yang dibentangkan Najib sebagai ‘bajet pilihan raya’.

Walaupun demikian, pengarang akhbar Cina itu tetap menyimpulkan Bajet 2018 sebagai bajet yang seimbang.

“Bajet 2018 telah mengagihkan gula-gula yang tidak terhitung jumlahnya dan nampak usaha kerajaan untuk memperbaiki taraf hidup rakyat dan merangsang ekonomi,” katanya.

Ujarnya, penjawat awam sekali lagi dicemburui apabila menerima hadiah besar daripada Najib.
“Tidak silap jika mengatakan penjawat awam adalah golongan yang menerima manfaat paling besar,” katanya.

Nanyang Siang Pau dalam rencana editorialnya pula menyifatkan Bajet 2018 memanfaatkan semua golongan.

“Bajet 2018 adalah bajet yang inklusif dan memanfaatkan semua orang…ia juga bajet untuk pilihan raya.

“Sebagai sumber pengundi yang paling besar, penjawat awam telah mendapat bayaran khas berjumlah RM1,500.”

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast