Misi cabaran Road To Annapurna Base Camp 2017 (R2ABC) dengan menebarkan kain rentang terbesar dan terpanjang.

POKHARA, NEPAL – Seramai 30 pendaki Malaysia mencipta sejarah apabila berjaya mengharung misi cabaran Road To Annapurna Base Camp 2017 (R2ABC) dengan menebarkan kain rentang terbesar dan terpanjang setakat ini.

Kesemua mereka tiba dengan selamat di Kem Pangkalan Annapurna (ABC) pada petang Rabu lalu yang disifatkan mencabar mental dan fizikal gara- gara terpaksa mengharungi cuaca sejuk dan bersalji serta oksigen semakin nipis.

Lebih manis, kejayaan turut disertai peserta Orang Kelainan Upaya, Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi yang menggunakan sebelah kaki palsu dan bertongkat untuk sampai di ABC yang memiliki ketinggi 4,130 meter.

R2ABC merupakan anjuran Pertubuhan Nadi Sihat (Nadi Sihat) yang turut melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Unit STORM), wakil media seperti RTM selaku media rasmi, Utusan Malaysia, MalaysiaDigest dan MalaysiaGazette sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif, Nadi Sihat, Shah Mustafa berkata, kejayaan menebarkan kain rentang seberat 30 kilogram itu pada pagi Khamis lalu amat bermakna kerana ia akan dipamerkan di ABC selepas ini.

Jelasnya, ini bermakna kain rentang yang turut kelihatan Jalur Gemilang akan dapat dilihat oleh pendaki dari seluruh dunia yang tiba di ABC pada masa akan datang.

“Bukan mudah untuk menakluk ABC tetapi kami telah membuktikan atas semangat kerjasama dan setiakawan yang erat akhirnya misi ini berjaya dilaksanakan.

“Apa yang penting, misi ini mampu melonjakkan lagi Nadi Sihat dan Malaysia dalam menyertai aktiviti luaran bertaraf dunia seperti cabaran mendaki ke ABC,” katanya.

Shah berkata, ia juga merupakan kejayaan besar kepada peserta ekspedisi kerana mereka berjaya membuktikan mampu melakukan aktiviti lasak walaupun terdiri pelbagai karier dan umur.

“Malah kebanyakan peserta berumur 40 tahun ke atas terutama di kalangan pendaki wanita.

“Saya sendiri pada mulanya tidak yakin dapat menamatkan misi ini gara-gara mengalami degupan jantung rendah kerana pernah menjalani pembedahan pintasa jantung sebelum ini.

“Namun dengan semangat setiakawan dan berpasukan yang tinggi, saya dan semua peserta berjaya tiba di sini,” katanya.

R2ABC menguji kemampuan peserta mengharungi cabaran sepanjang enam hari pendakian dengan perjalanan sejauh 60 kilometer dan serta lebih 30,000 anak tangga sebelum pendakian diteruskan ke Poon Hill setinggi 3,000 meter selama dua hari lagi.

Sebelum ini, Nadi Sihat telah menjayakan program Mount Kinabalu Climbing Challenge 2015, Mount Kinabalu Climbing Challenge 2.0 dan Mount Kinabalu Climbing Challenge 3.0.

R2ABC dilihat sebagai satu inisiatif pertubuhan ini dalam mengorak langkah setapak ke hadapan dengan menganjurkan program ekspedisi bertaraf antarabangsa memandangkan Nadi Sihat hanya memberi fokus dalam penganjuran program dalam negara.

Nadi Sihat juga merupakan pemegang rekod bagi “Longest Banner Display on Mount Kinabalu” yang mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records tahun lalu. – MalaysiaGazette