JASIN – Seorang pesara tentera menemui satu tengkorak manusia ketika melakukan kerja pembersihan di kebun getah miliknya di Batu 27 Kampung Solok Komong, Simpang Bekoh di Jasin, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Arshad Abu berkata, tengkorak tersebut ditemukan lelaki berusia 42 tahun itu pada pukul 8.15 pagi di bawah timbunan ranting kayu dan semak berhampiran sebatang pokok getah sebelum lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Simpang Bekoh dekat sini.

“Kebun seluas kira-kira 0.4 hektar itu terletak lebih kurang 400 meter dari jalan besar kampung berkenaan dan ia ia tidak diusahakan pemiliknya antara empat hingga lima tahun,” katanya kepada pemberita di Melaka, hari ini.

Beliau berkata tengkorak berkenaan telah dibawa pasukan forensik ke Hospital Jasin untuk siasatan lanjut kira-kira 4 petang dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut.

Katanya orang ramai yang kehilangan anggota keluarga diminta supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.-MalaysiaGazette