KOTA BHARU – Penjaga gol pasukan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat belum membuat sebarang pertimbangan untuk berhijrah ke pasukan lain meskipun sudah mendapat tawaran bagi menggunakan khidmatnya.

Khairul Fahmi yang juga dikenali sebagai Apek mengulas berkenaan tawaran yang dikemukakan Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Memetik laporan Bernama, beliau bagaimanapun berkata, tawaran tersebut merupakan suatu perkembangan yang positif dalam perjalanan kariernya yang juga pernah menjadi penjaga gol kebangsaan sebelum ini.

“Saya berterima kasih kepada MUSA kerana menawarkan kontrak untuk beraksi bersama Melaka United musim depan, namun buat masa ini, masih terlalu awal untuk saya membuat sebarang keputusan.

“Saya belum menetapkan hala tuju untuk bermain dengan mana-mana pasukan kecuali Kelantan buat masa ini,” katanya memetik laporan berita tersebut.

Antara sebab pertimbangan itu dibuat juga, tegas Khairul Fahmi, beliau masih menghormati baki kontrak bersama pasukannya ketika ini yang hanya tamat pada musim depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast