Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa kejadian rempuhan lori di Manhattan yang mengorbankan 8 orang dan 11 tercedera dalam kejadian semalam.

KUALA LUMPUR – Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam insiden pemandu lori merempuh laluan basikal bersebelahan Hudson River, semalam.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memberitahu bahawa insiden yang berlaku di Lower Manhattan, New York telah mengorbankan lapan nyawa dan 11 orang tercedera.

“Setakat ini tiada penglibatan rakyat Malaysia dalam kejadian tersebut. Ketika ini pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat insiden itu,” katanya di sini.

Menurut kenyataan itu lagi, Konsulat Jeneral Malaysia di New York akan terus memantau situasi semasa dan akan memanjangkan maklumat terkini kepada komuniti Malaysia di sekitar bandaraya New York.

Untuk sebarang kecemasan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di New York di alamat 313 East 43 rd Street, New York, NY 10017.

Orang ramai juga dinasihati boleh menghubungi di talian +1 (212) 490 2722 atau +1 (212) 490 2723 atau menerusi e-mel: [email protected].

Kementerian Luar Negeri turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini.- MalaysiaGazette