Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berucap ketika melancarkan Program S.M.I.L.E (Senyuman Mesra & Ikhlas, Layanan Efisien) Kumpulan Prasarana di Stesen LRT Putra Heights. foto SAFWAN MANSOR, 02 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan satu lagi inisiatif dalam memantapkan kualiti perkhidmatannya selaras dengan misi menjadi penyedia perkhidmatan pengangkutan awam berkeas dunia.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, inisiatif SMILE atau Senyuman Mesra dan Ikhlas, Layanan Efisien itu untuk menerapkan nilai murni dalam perkhidmatan, sekali gus menaikkan imej syarikat dan menarik lebih ramai masyarakat menggunakan perkhidmatan dikendalikan Prasarana.

Kata beliau, dengan warga kerja melebihi 10,000 orang, Kumpulan Prasarana adalah syarikat induk kepada Rapid Rail Sdn Bhd dan Rapid Bus Sdn Bhd, yang masing-masing menjadi operator kepada perkhidmatan rel urban negara.

“Sebagai permulaan, program SMILE ini menyasarkan tiga kumpulan utama iaitu Rapid Rail, Rapid Bus dan pasukan Polis Bantuan Kumpulan Prasarana, dengan Akademi Rel Rapid Rail dan Akademi Bas Rapid Bus menjadi tenaga utama dalam menyediakan latihan kepada kakitangan termasuk warga Kumpulan Prasarana,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program SMILE  Kumpulan Prasarana di Bilik Latihan, Stesen LRT Putra Heights di sini, hari ini.

Menurut Azmi, selain bertujuan untuk merapatkan hubungan dengan pelanggan dan menyerlahkan perkhidmatan mesra serta ceria, program SMILE juga untuk memupuk budaya mesra dalam kalangan warga kerja syarikat.

“Dengan sasaran jangkamasa panjang untuk menghasilkan tanggapan positif dalam kalangan pelanggan terhadap perkhidmatan tren dan bas kendalian Kumpulan Prasarana, kita juga mengharapkan dapat mengharumkan nama syarikat ini melalui perkhidmatan mesra dan efisien,” tambahnya.

Kata beliau, dengan program itu juga pihaknya mengharapkan dapat meningkatkan jumlah penumpang bagi kedua-dua perkhidmatan bas dan tren selaras dengan amanah diletakkan oleh kerajaan kepada Prasarana untuk memacu misi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

“Kita meletakkan sasaran penggunaan pengangkutan awam ini kepada nisbah 40:60 berbanding penggunaan kenderaan sendiri menjelang 2030,” katanya.

Jelas Azmi, selain program SMILE dan Budaya Layanan Cemerlang, inisiatif besar lain yang dilaksanakan Kumpulan Prasarana tahun ini juga untuk merangsang peningkatan kualiti perkhidmatan di kalangan warga kerja syarikat dan anak-anak syarikat. – MalaysiaGazette