PR1MA

KUALA LUMPUR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) perlu mengenal pasti lokasi-lokasi strategik bagi pembinaan rumah mampu milik yang dijual pada harga di bawah RM250,000 dan mempunyai kemudahan pengangkutan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dua faktor itu penting dalam membantu kerajaan menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat negara ini.

“Laporan Bank Negara Malaysia berkata, keupayaan rakyat Malaysia boleh mendapat pinjaman perumahan adalah RM250,000 dan ke bawah. Sedangkan PR1MA menawarkan kediaman pada harga dari RM250,000.

“Tapi kalau harga di bawah RM250,000 tetapi lokasi tidak ada pengangkutan dan rangkaian perhubungan pun tidak guna juga.

“Jika ada kemudahan pengangkutan tetapi rumah yang disediakan RM500,000 pun tidak boleh. Jadi kedua-dua faktor itu mesti ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2017.

Pada pembentangan Bajet 2018 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan sebanyak 210,000 kediaman berharga RM250,000 ke bawah akan dibina di bawah program PR1MA.

Ia membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion dalam tempoh dua tahun. – MalaysiaGazette