Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (lima kiri) beramah mesra dengan sebahagian Duta Program S.M.I.L.E (Senyuman Mesra & Ikhlas, Layanan Efisien) Kumpulan Prasarana yang terdiri dari kakitangan syarikat tersebut pada majlis pelancaran yang diadakan di Stesen LRT Putra Heights. foto SAFWAN MANSOR, 02 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tren empat gerabak KL Monorail yang dihentikan sementara kerana aspek keselamatan dijangka mula beroperasi pertengahan Disember ini.

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, lima tren empat gerabak itu akan masuk dalam perkhidmatan pada akhir bulan ini.

“Kita sasarkan tren ini beroperasi pertengahan Disember ini. Kita akan dapat menyiapkan semua lima tren empat gerabak ini untuk masuk dalam perkhidmatan bermula penghujung November ini.

“Kita sudah siap segala isu-isu mengenai pembaikan dan pembaikpulihan komponen yang mengganggu keselamatan dan kita jangkakan siapkan keseluruhannya pada pertengahan Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program SMILE (Senyuman Mesra dan Ikhlas, Layanan Efisien) Kumpulan Prasarana di Bilik Latihan, Stesen LRT Putra Heights di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, beliau dilaporkan berkata, lima tren empat gerabak KL Monorail terpaksa dihentikan perkhidmatannya sementara berikutan faktor keselamatan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan penumpang perkhidmatan itu terutama bagi tren baharu empat gerabak.

“Semua Tren itu melalui penilaian audit daripada pihak ketiga untuk memastikannya selamat digunakan semasa beroperasi penuh,” kata Azmi. – MalaysiaGazette