KUALA LUMPUR – Pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail malam tadi hadir dalam perarakan sempena memperingati 1,000 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim di penjara.

Lebih kurang 150 orang termasuk pemimpin dan penyokong pembangkang berkumpul di Parlimen lebih kurang pukul 8 malam tadi sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

Perarakan yang sempena pemenjaraan Anwar itu juga dibuat dalam keadaan rakyat Pulau Pinang dan Kedah yang sedang berhadapan dengan bencana banjir kilat.

Dalam perarakan tersebut, peserta turut membawa plakad bertulis “1,000 hari pengorbanan” serat laungan “bebas Anwar”, “hidup rakyat”, dan “reformasi”.

Bagaimanapun, ketika perarakan itu disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook DAP, rata-rata pengguna laman sosial mengecam perarakan tersebut berikutan mangsa banjir di utara yang sepatutnya lebih diutamakan berbanding memperingati tarikh Anwar dipenjara.

Salihuddin Mohamed dalam ruangan komen berkata, rakyat Pulau Pinang ketika ini lebih memerlukan pertolongan berbanding dengan Anwar sedangkan pemimpin BN dan Pas antara yang terawal turun padang.

“PH sibuk reformasi, rakyat Penang tak ada siapa tolong…pemimpin BN dan Pas yang turun padang harung banjir hulurkan bantuan,” katanya.

Manakala Alvin Saw Wei Chuin dalam komennya mempersoalkan kenapa Lim Kit Siang menyertai perarakan tersebut meskipun negeri bawah pentadbiran anaknya, Lim Guan Eng sedang menghadapi bencana.

“What the ## Kit Siang, your son is busy headache at Penang to help whatever he can..u all come KL to do this at this time?”


Selain Kit Siang, Teresa Kok, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Abdulla, Fuziah Salleh, Tian Chua, R Sivarasa, Zuraida Kamaruddin dan Johari Abdul juga hadir.

Wan Azizah ketika berarak sempat melahirkan rasa bersyukur dan gembira apabila ramai yang turut berarak bersamanya mengingati suaminya.

“Ia satu penyeksaan namun beliau sanggup menempuhnya demi negara kita. Kita tidak harus lupa sumbangan, bukan saja Anwar tapi semua yang pernah berkorban pengorbanannya ada sebab, jangan lupa bahawa ini adalah demi generasi masa depan.”-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. tak kan lah dengan sebab banjir kita lupa perkara lain ,banjir bala Sementara tapi sistem negara ini bala yang bolih berpanjangan , perluaskan otak jangan disempitkan .

Comments are closed.