Ketua pasukan, Safiq Rahim (tengah) menjulang Piala Malaysia dan meraikan kemenangan mereka bersama pemain-pemain JDT selepas menewaskan Kedah 2-0 pada Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam, Selangor. foto SAFWAN MANSOR, 04 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Juara Piala Malaysia 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menyerahkan wang kemenangan kejohanan berprestij itu kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim mengumumkan perkara tersebut menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

“Menjunjung titah DYAM Tunku Mahkota Johor, antara polisi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah untuk memberi bantuan dan sumbangan kepada yang memerlukan sepertimana sebelum ini kepada mangsa bencana banjir di Pahang dan Kelantan serta mangsa bencana gempa bumi di Sabah.

“Banyak bantuan yang telah kami berikan kepada kerajaan negeri dan JDT akan terus melakukan perkara yang sama. Kelab JDT dan para pemain telah membuat keputusan untuk memberi duit kemenangan Piala Malaysia yang kami menangi kepada mangsa bencana banjir di Pulau Pinang.

“YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim, Presiden Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim,” kata Tunku Tun Aminah.

Malam Sabtu lalu, JDT dinobat sebagai juara Piala Malaysia musim ini selepas menewaskan Kedah 2-0 dalam saingan akhir di Stadium Shah Alam.- MalaysiaGazette