Presiden FAM, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani World League Forum bersama Football Limited Liability Partnership (FMLLP) di Hotel Thistle, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BARU – Sebahagian imbuhan RM1 juta yang diberikan kerajaan negeri kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di atas kemenangan menjuarai Piala Malaysia akan disumbangkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.

Pemilik Kelab Bolasepak JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, keputusan itu merupakan persetujuan antara beliau dan pemain JDT.

“Kerajaan negeri pun akan ada sumbangan yang lain ke sana.. kita bagi berapa yang kita mampu untuk kelab…tak silap saya, dalam RM500,000 – RM600,000.

“Niat ikhlas membantu mereka. JDT is more than a club. It’s a big club….kita membantu masyarakat dan komuniti juga,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Forum Liga Dunia bersama FMLLP di Hotel Thistle di sini hari ini.

Semalam kerajaan negeri dalam mesyuarat Exco yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memutuskan untuk memberi imbuhan RM1 juta kepada JDT kerana kejayaan menjuarai Piala Malaysia.

Imbuhan yang diberikan kerajaan negeri itu bagi menghargai usaha serta kerja keras pemain dan pegawai pasukan JDT yang berjaya membawa pulang piala itu selepas kali terakhir pasukan dari Johor memenangi Piala Malaysia 26 tahun lalu.

Pada Sabtu lalu, JDT menewaskan Kedah 2-0 dalam aksi perlawanan akhir Piala Malaysia yang diadakan di Stadium Shah Alam, Selangor. – MalaysiaGazette