KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera ketika melarikan diri dalam kejadian sebuah kren di tapak pembinaan di Jalan Raja Muda Musa di sini tumbang yang turut menyaksikan dua kenderaan terjejas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah yang mengesahkan kejadian itu, berkata insiden berlaku kira-kira 1 tengah hari.

Wanita itu yang cedera ringan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk diberi rawatan, katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga berkata keadaan di lokasi kejadian adalah terkawal dan tapak pembinaan tersebut ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan termasuk mengenal pasti punca kren itu tumbang.

Sementara itu, saksi kejadian Zukri Che Hussien, 57, berkata keretanya dihempap tali kabel kren ketika dia sedang memandu melalui jalan tersebut untuk ke masjid..

Bagaimanapun kejadian yang berlaku di kawasan berhampiran penempatan penduduk itu menimbulkan ketakutan kepada mereka.

Ramai netizen yang juga penduduk dan mereka bekerja di Kampung Baru melahirkan ketakutan mereka kerana kawasan itu kini sedang rancak dengan kerja-kerja pembinaan dalam Projek Legasi Kampung Baru.- MalaysiaGazette