Gambar hiasan
PARIT – Seorang wanita yang sarat mengandung sembilan bulan terkejut apabila suaminya ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Operasi Perdana di Sungai Galah, Kampung Gajah di sini hari ini, kerana mengulangi kegiatan lamanya mengedar dan menagih dadah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Perak Mokhtaruddin Mohamad berkata lelaki itu antara 18 penagih dadah berumur 18 hingga 41 tahun yang ditahan dalam operasi yang dijalankan AADK sejak 8 malam tadi hingga 12 tengah hari.

Lelaki itu yang bekerja sebagai buruh ditahan di rumahnya kira-kira pukul 3.30 pagi tadi apabila ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis metafetamina, katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya pemeriksaan di rumah pasangan tersebut turut menemukan 25 gram dadah dipercayai syabu yang dipercayai mahu dijual oleh lelaki tersebut di sekitar Sungai Galah.

Wanita berusia 32 tahun berkenaan yang hamil anak kelima mereka mendakwa tidak mengetahui kegiatan suaminya yang dikatakan telah berhenti mengambil dan mengedar dadah sejak mereka belum berkahwin, katanya, menambah kes disiasat menurut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Changkat Lada, anggota operasi mengalami kesukaran untuk menahan seorang lelaki berusia 35 tahun selepas ibunya enggan memberi kerjasama.

“Wanita itu cuba menyorok anaknya dengan tidak membenarkan anggota memeriksa rumahnya. Hasil pemeriksaan mendapati suspek berada di dalam rumah dan kita turut menjumpai satu senapang angin dan 20 gram heroin,” katanya, menambah suspek dipercayai mengedar dan menagih.

Menurutnya operasi melibatkan 28 anggota AADK termasuk Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) dari Ibu Pejabat AADK Putrajaya.

— BERNAMA