Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hampir 20 juta rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata 14 jam 30 minit seminggu untuk mendengar radio.

Menurut kaji selidik Pengukur Pendengar Radio (RAM) oleh GFK mendapati, siaran petang (drive time show) yang bermula pada jam 4 petang sehingga 8 malam pada hari bekerja menerima trafik pendengar tertinggi dengan 14.1 juta pendengar.

Ini diikuti siaran pagi (breakfast show) yang bermula pada jam 6 pagi sehingga 10 pagi pada hari Isnin hingga Jumaat dengan 13.7 juta pendengar manakala siaran malam pada Isnin sehingga Jumaat bermula 8 malam sehingga 12 tengah malam menerima trafik pendengar ketiga tertinggi dengan 8.5 juta.

Kaji selidik yang dijalankan selama enam minggu bermula 16 Julai sehingga 26 Ogos ini dilaksanakan ke atas 6,000 responden berusia 10 tahun ke atas.

GFK menggunakan 4,800 diari kertas dan elektronik yang menyediakan pandangan jelas mengenai kekuatan dan skop penyiaran radio di seluruh Malaysia.

Selain RAM, GFK turut menjalankan kaji selidik Radio Insights ke atas sikap rakyat Malaysia di dalam penyiaran radio.

Kaji selidik itu mendapati 25 peratus pendengar mendapat maklumat mengenai iklan menerusi radio berbanding televisyen (28 peratus), Internet (24 peratus), majalah dan suratkhabar (12 peratus) dan iklan luar (12 peratus).

Radio juga menjadikan iklan tersebut dapat diingati dengan lebih lama berbanding medium lain.

Menurut hasil kaji selidik itu, 73 peratus responden mempercayai iklan di radio berbanding medium-medium lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast