Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata proses ekstradisi penceramah bebas, Dr. Zakir Naik tidak boleh dilakukan buat masa ini kerana tidak ada permohonan rasmi daripada India.

Menurutnya, pihaknya hanya membuat pemantauan rapat terhadap aktiviti harian penceramah bebas itu dari sebarang konflik di masa akan datang.

“Kita tidak ada menerima apa permohonan ekstradisi secara rasmi pada masa ini tapi kita sedang pantau, jadi macam mana kita nak ambil tindakan ekstradisi dan sebagainya sekiranya tidak ada permohonan dibuat.

“Sekarang kita cuma pantau tindakan dan pergerakan beliau sama ada boleh menjejaskan keadaan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Unit Tindakhas (UTK) di Lapang Sasar, Bridged Tengan Cheras hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian menjawab kenyataan daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang berkata kerajaan tidak menerima permohonan ekstradisi daripada kerajaan India.

Zahid dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat berkata sekiranya kerajaan India ada membuat permohonan ekstradisi berdasarkan kepada Bantuan Undang-undang Bersama, Putrajaya akan memenuhi permintaan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap penceramah bebas itu sekiranya mendapati Zakir Naik ada niat untuk mempromosikan aktiviti keganasan di negara ini.

“Secara dasarnya kita tahu kedudukan sebab dia personaliti yang menarik perhatian jadi kita akan buat tindakan sewajarnya kerana ini adalah perkara yang penting.

“Kita ada buat pemantauan tertentu, jika perlu perlu kita akan ambil tindakan. Jika tidak ada, kita tidak akan ambil tindakan sebab semua orang bebas bergerak di negara ini,” katanya.

Kerajaan India pada mendakwa Zakir Naik memperomosikan aktiviti keganasan di negara itu mengakibatkan pasport antarabangsa beliau ditarik balik. -MalaysiaGazette