Hilmi Yahaya

PULAU PINANG – Pengamal budaya songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dikesan menjadi penyumbang utama kes baharu HIV dan AIDS di negara ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih membimbangkan, Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya, kes baharu itu turut dilaporkan berlaku dalam kalangan profesional yang mengamalkan hubungan seks sejenis.

Ujar beliau, secara keseluruhan sejak 1986 sehingga tahun lalu, sebanyak 108,519 kes HIV dan AIDS dilaporkan di negara ini membabitkan secara purata 3,000 kes baharu dengan 1,000 kematian setiap tahun.

Daripada jumlah itu, katanya, amalan berkongsi jaram dalam kalangan penagih dadah kekal menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 62.68 peratus manakala 27.69 peratus berpunca daripada hubungan seksual serta jangkitan ibu kepada anak.

“Secara perbandingan mengikut negeri pula, sebanyak 26 peratus kes HIV dan AIDS dilaporkan di Selangor iaitu negeri tertinggi dengan kira-kira 1,000 pesakit meninggal dunia dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari AIDS Sedunia 2017 peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Pondok Upeh, Balik Pulau, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Hilmi berkata, kes jangkitan HIV dan AIDS diyakini lebih banyak memandangkan ramai penghidapnya memilih untuk tidak mendapatkan rawatan di hospital.

Keadaan itu, ujar beliau, mungkin disebabkan mahu merahsikan jangkitan tersebut daripada keluarga atau pasangan masing-masing sekali gus menyebabkan usaha mencegah penularan penyakit berkenaan semakin sukar.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Hilmi berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang laporan masalah kesihatan yang disebabkan bencana banjir besar di negeri ini sejak seminggu lalu.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan mangsa banjir di negeri ini turut berhati-hati dan mengambil langkah mencegah sebarang penyakit termasuk mengambil air yang dimasak bagi mengelak cirit-birit dan demam. – MalaysiaGazette