Seorang broker jualan kenderaan bergelar Datuk, yang ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek kerajaan bernilai jutaan ringgit, dibebaskan hari ini.

ALOR SETAR -Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri hari ini mengesahkan ada melakukan ‘pemeriksaan awal’ terhadap enam individu dalam pasukan bola sepak Kedah berhubung dakwaan menerima rasuah seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut sumber SPRM, pemeriksaan awal ke atas keenam-enam individu berkenaan dengan identiti mereka tidak didedahkan, bukanlah berbentuk siasatan secara terbuka, sebaliknya hanya melibatkan temu bual secara tidak formal.

“Ia hanyalah sekadar pertanyaan untuk pengesahan, tidak lebih daripada itu kerana tindakan lanjut untuk mengumpul maklumat masih berterusan,” katanya di sini hari ini.

Semalam, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beberapa pemain pasukan Kedah dipanggil SPRM berhubung dakwaan rasuah, menjual permainan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia, bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 4 Nov lepas.

Menurut sumber itu, sehingga kini SPRM tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan tersebut. – BERNAMA