TOULOUSE – Airbus SE bakal memeterai urus niaga terbesar dalam sejarah penerbangan apabila syarikat pengeluar kapal terbang itu sedang berunding untuk menjual 430 buah pesawat bernilai AS$40 bilion kepada pelabur penerbangan Amerika Syarikat, Indigo Partners.

Menurut sumber yang rapat dengan urus niaga itu, transaksi berkenaan membolehkan Airbus menjadi pendahulu pada Pertunjukan Udara Dubai yang mana syarikat itu sekarang sedang mengekori rapat Boeing Co. daripada segi tempahan.

Pembelian berkenaan turut menjadi pencapaian terbaik kepada Ketua Jualan Airbus, John Leahy yang bakal bersara tidak lama lagi selepas puluhan tahun berkhidmat dan berjaya menjual ribuan pesawat serta melonjakkan syarikat pengeluar pesawat Eropah itu berdiri sama tinggi dengan pesaingnya dari Amerika Syarikat.

Bagi Indigo Partners yang diketuai Bill Franke, urus niaga dengan Airbus akan menaikkan taraf pesawat satu lorong yang akanĀ  merangsang angkatan pesawat syarikat penerbangan murah dari Denver ke Budapest.

Pesawat-pesawat tersebut akan digunakan oleh syarikat-syarikat penerbangan di bawah portfolio pelaburan Indigo seperti Frontier Airlines, Volaris, Wizz Air Holdings Plc dan JetSmart.

Kerjasama di antara Airbus-Indigo dijangka diumumkan pada hari ini . – MalaysiaGazette