KUALA LUMPUR – Berang dengan penyebaran satu infografik berbaur fitnah yang dimuat naik di media sosial, Datuk Ahmad Maslan menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Mutlimedia (SKMM) mengambil tindakan terhadap individu yang berbuat demikian.
“Saya telah memaklumkan pihak #SKMM agar mengambil tindakan terhadap fitnah yg disebarkan ini.
“Pegawai saya juga akan membuat laporan Polis, #PDRM. Kita mesti #PerangiFitnahMediaSosial #SemakSebelumSebar juga #FikirSebelumTular. Saya harap mereka yg terlibat akan diambil tindakan,” kata Pengerusi Biro IT UMNO itu.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menggesa tindakan itu diambil menerusi laman Twitternya hari ini.
Infografik itu antara lain menyebut Ahmad Maslah sebagai berkata, kerajaan menaikkan harga minyak untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.
Mengulas perkara tersebut, katanya, beliau tidak pernah menyebut sedemikian, malah perihal minyak bukan di bawah bidang kuasa MITI.
Katanya, harga minyak Malaysia mengikut harga minyak dunia bukan kerajaan yang turun atau naikkan.
“Infografik yang disebar ini fitnah bodoh. Dahlah bodoh fitnah pula,” katanya.- MalaysiaGazette