Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kedua-dua produk itu kini boleh dibeli di 24 rangkaian pasar raya besar MYDIN di seluruh Semenanjung, manakala bagi pembeli di Sabah mereka boleh mendapatkannya di beberapa pasar raya utama mulai awal Disember ini dan di Sarawak bermula Januari, depan.
Menurutnya, selain pasaran tempatan, Felcra juga berhasrat memperluaskan produk ini ke pasaran antarabangsa secara berperingkat melalui anak syarikatnya, FELCRA International Venture (FIV), khususnya ke Hong Kong, China, Jepun, Timur Tengah selain negara-negara ASEAN.
“Kami telah mengadakan promosi di Hong Kong Oktober lalu, dan maklum balas yang diterima daripada beberapa syarikat tempatan di sana cukup memberangsangkan. Produk sardin dan tuna YUYA dijangka menembusi pasaran Hong Kong, bermula Disember ini,” kata Bung Moktar dalam satu kenyataan, hari ini.
Produk sardin dan tuna YUYA adalah keluaran anak syarikat Felcra, Felcra Livestock & Agri Product Sdn Bhd (FLAP) dengan kerjasama beberapa rakan strategik dari Indonesia dan Filipina.
“Produk sardin dan tuna YUYA memperoleh Pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) setelah melalui proses kelulusan yang cukup ketat di peringkat pengilangan serta pembuatannya.
“Ini penting bagi menjamin produk berkenaan bukan sahaja berkualiti tinggi, tetapi bersih, suci dan selamat kepada pengguna,” kata Bung Mokhtar, yang juga Pengerusi FLAP.
Produk ini juga, katanya, tidak mengandungi sebarang bahan pengawet serta menggunakan ikan-ikan segar tanpa sejuk beku, sebelum diproses di peringkat kilang.
Menurutnya lagi, kini pelbagai produk berjenama YUYA mampu bersaing di pasaran tempatan dan antarabangsa, antaranya seperti Tuna Sambal Pedas (Spicy Chili); Tuna Rendang (Spicy Coconut Gravy); Tuna Sos Bawang Berempah (Spicy Onion Sauce); dan Sotong Goreng Bercili (Squid Fried Chili).- BERNAMA