gambar hiasan
Gambar hiasan

BAGAN DATUK – Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan menaikkan subsidi bahan bakar bagi memastikan harga bahan itu tidak terus meningkat di pasaran.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, perkara itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Ekonomi Negara esok untuk perbincangan lanjut.

“Kami sedang mengkajinya (naikkan subsidi),” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di Bagan Datuk, hari ini.

Program sehari anjuran Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mohd Irwan Siregar berkata demikian ketika ditanya usaha kerajaan untuk memastikan harga bahan bakar di pasaran tidak terus meningkat.

Ketika ini, harga bagi seliter Petrol RON 95 ialah RM2.38 manakala RON 97 dan diesel masing-masing RM2.66 dan RM2.25.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Irwan Serigar menggesa rakyat supaya tidak mempercayai tohmahan pihak tertentu yang mengatakan negara akan muflis.

Beliau berkata sekiranya negara akan bankrap kerajaan tidak akan mampu membentangkan Bajet 2018 dengan peruntukan RM280.25 bilion.

“Saya sebagai pegawai kanan kerajaan dan duduk dalam Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) saya tahu apa yang berlaku dan apa yang dibuat kerajaan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata tohmahan tersebut juga tidak berasas kerana Keluaran Dalam Negara Kasar bagi suku ketiga tahun ini mencatat pertumbuhan 6.2 peratus sebagaimana diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak Jumaat lalu.

“Ini sekali gus membuktikan Malaysia berkembang pantas di rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette