Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dari Johor, Dr Boo Cheng Hau mahu Tun Dr Mahathir Mohamad meminta maaf kepada Sultan Selangor dan Johor kerana mengeluarkan kata-kata yang menghina masyarakat Bugis.

ADUN Skudai itu berkata, tindakan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan itu menimbulkan rasa kurang senang dan mengundang perpecahan dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

“Penghinaan bernada perkauman itu telah mencetuskan rasa tidak senang, dan dilihat menggalakkan semangat kepuakan dan perpecahan rakyat Malaysia pelbagai keturunan.

“Pakatan Harapan sepatutnya memberi harapan untuk menyatukan rakyat Malaysia pelbagai kaum dengan tidak terikut-ikut dengan retorik perkauman UMNO dan Barisan Nasional,” kata beliau dalam satu dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa supaya DAP menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan Dr Mahathir itu kerana ideologi parti yang tidak menyokong politik berunsur sentimen kaum dan agama.

“DAP sendiri patut berpegang teguh terhadap prinsip ‘Malaysian Malaysia’ iaitu politik yang tidak berasaskan kaum,” katanya.

Kenyataan Dr Mahathir sebelum ini juga menerima kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataannya itu, termasuk Sultan Selangor yang menyifatkannya sebagai keterlaluan dan cuba menghasut rakyat membenci masyarakat itu. – MalaysiaGazette