Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz (dua kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mohd Zaini Hassan (tengah) dan Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Hassan Said (dua kanan) melihat dokumen Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi MARA dan Prasarana Malaysia Bhd. di Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 20 NOVEMBER 2017.

SHAH ALAM – Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) menjangkakan industri rel tempatan memerlukan kira-kira 50,000 pekerja dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, ia merupakan peningkatan dua kali ganda berbanding jumlah pekerja yang ada ketika ini.

“Ini berikutan perkembangan industri rel di negara ini terutama apabila negara akan mula melaksanakan projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) dan projek rel yang menghubungkan pantai timur (ECRL).

“Perkembangan ini menyebabkan lebih ramai pekerja berkemahiran yang diperlukan bagi memenuhi keperluan industri,” katanya semasa sidang media selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Canselor UiTM, Datuk Dr. Hassan Said.

Menyentuh mengenai kerjasama tersebut, Azmi berkata, anak syarikat prasarana, Rapid Rail dan UiTM akan mengenal pasti inisiatif-inisiatif untuk mengukuhkan, mempromosi dan membangunkan sumber manusia, latihan, akademik, budaya dan penyelidikan dan operasi di lapangan kejuruteraan rel.

Antara skop aktiviti termasuklah kerjasama dalam perundingan dan kajian, perkongsian kepakaran dan sumber, penganjuran simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat.

Ini turut melibatkan peluang untuk mengadakan latihan praktikum dan latihan industri.

Dijangkakan kolaborasi selama tiga tahun ini akan melibatkan 1,000 pelajar pelbagai kursus seperti kejuruteraan dan perniagaan.

Menurut Azmi, pelajar-pelajar yang menunjukkan komitmen yang tinggi dan menepati ciri-ciri yang diperlukan oleh syarikat boleh terus diserap masuk bekerja.

Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, Prasarana berharap ditawarkan satu lagi projek baharu oleh kerajaan Arab Saudi susulan kejayaan syarikat tersebut menyediakan perkhidmatan tren haji baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut rundingan dan menjangkakan pengumuman mengenai akan dibuat pada pertengahan tahun depan.-MalaysiaGazette