Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (tiga kiri) mendengar luahan salah seorang mangsa-mangsa penipuan Datin Seri Norlin Ismail,44 (tiga kanan) pada sidang media mengenai PPIM Dedah Kes Penipuan Pakej Haji VIP (Haji Furada) di Ibu Pejabat PPIM, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 21 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Seramai 35 individu ‘berputih mata’ apabila menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat yang didakwa menyediakan perkhidmatan pakej Haji VIP ataupun Haji Furada.

Setiap seorang daripada mereka telah membelanjakan antara RM50,000 hingga RM200,000 untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat yang berpusat di Shah Alam itu, kata Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menurutnya, siasatan PPIM mendapati, syarikat yang beroperasi sejak tahun 2000 itu tidak mempunyai sebarang kelulusan Pengelola Jemaah Haji (PJH) Tabung Haji mahupun Lesen Khas Pengurusan Umrah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC).

Bagaimanapun katanya, syarikat yang berdaftar dengan MOTAC itu telah menyatakan kepada mangsa yang pengurusannya telah mendapat visa khas haji daripada Kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah tersebut pada musim haji 2017 dipercayai sebagai alasan untuk mengabui mata mangsa.

Akan tetapi kata beliau, setelah mangsa-mangsa membuat bayaran dan ketika hampir dengan tarikh penerbangan, pengurusan syarikat tersebut menyatakan visa-visa berkenaan telah `dirampas’ oleh sebuah syarikat lain.

“Pengurusan syarikat berkenaan telah membawa mangsa ke Tabung Haji dan memberikan mereka satu surat yang kononnya dikeluarkan oleh agensi tersebut apabila mangsa mempersoalkan perkara itu.

“Surat itu menyatakan mereka boleh berangkat menunaikan haji menggunakan kuota Tabung Haji,” kata Nadzim pada sidang media mengenai perkara ini hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Norlin Ismail, 44, menyatakan, walaupun mendapat pelepasan tersebut, mereka masih tidak dapat mengerjakan haji kerana syarikat berkenaan gagal menyediakan tiket penerbangan.

Norlin Ismail

Dakwa Norlin, syarikat itu hanya memberikan tiket penerbangan ke Dubai, Emiriyah Arab Bersatu dan gagal menyediakan tiket penerbangan sambungan ke Jeddah, Arab Saudi.

“Ini yang mengelirukan kami dan menyebabkan hasrat kami untuk mengerjakan haji terbantut.

“Kami turut cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat itu tetapi pemiliknya enggan memberi sebarang maklum balas,” dakwa wanita berkenaan yang merupakan suri rumah.

Pada sidang media itu, kesemua mangsa yang ditemui berhasrat mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit.

Dalam pada itu, Nadzim turut menyarankan agar kerajaan mewujudkan satu mekanisme bagi membuat kawalan haji dan umrah untuk mengelakkan penipuan seperti itu berulang.

Katanya, meskipun media banyak melaporkan kes-kes seperti itu, namun apa yang sangat dikesali apabila masih ramai yang tidak mengambil pengajaran mengenainya. – MalaysiaGazette