Kapal selam San Juan

MAR DEL PLATA, Argentina – Tentera laut Argentina meningkatkan kemungkinan kapal selamnya yang hilang di selatan Lautan Atlantik meletup, meningkatkan kekhuatiran terhadap nasib 44 anak kapal setelah usaha mencari memasuki hari kelapan.

Satu bunyi dasar laut dikesan oleh agensi antarabangsa pada pagi 15 November lalu, masa yang sama dan kawasan yang sama ARA San Juan menghantar isyarat terakhir adalah ‘konsisten dengan satu letupan’, kata jurucakap tentera laut, Enrique Balbi kepada wartawan.

Kapal selam itu hanya mempunyai bekalan oksigen yang boleh bertahan sehingga tujuh hari, memusnahkan harapan beberapa ahli keluarga anak kapal yang berkumpul di pengkalan kapal itu di bandar Mar del Plata.

“Apa gunanya mengharap jika ia telah berakhir,” kata isteri salah seorang anak kapal yang hilang, Itati Leguizamon kepada para wartawan.

Tentera laut negara itu tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menyatakan punca letupan atau sama ada kapal selam itu mungkin telah diserang, kata Balbi.

Sebelum ini, krew operasi mencari dan menyelamat berhadapan dengan beberapa siri petunjuk palsu yang memberi harapan kapal selam itu akan dijumpai. Ditanya semasa sidang media mengenai nasib 44 orang kelasi terbabit, Balbi berkata, situasinya ‘kritikal’.

“Kami tidak akan membuat tekaan kerana menghormati ahli keluarga,” tambah beliau.

Maklumat mengenai kemungkinan berlaku letupan itu diterima daripada Pertubuhan Perjanjian Larangan Ujian Nuklear Komprehensif (Comprehensive Nuclear Test-Ban Treaty Organization – CTBTO), sebuah badan antarabangsa yang mengendalikan rangkaian global mencari lokasi bunyi yang direka untuk mengesan letupan atom secara rahsia.

Agensi yang berpangkalan di Vienna itu dilengkapi stesen pemantau dengan peralatan mikrofon dasar laut yang boleh mengimbas gelombang bunyi di lautan berkata dalam satu kenyataan bahawa dua stesennya telah mengesan isyarat berhampiran lokasi kapal selam yang itu hilang.

Pencarian di laut dan udara secara besar-besaran dilakukan untuk San Juan, kapal selam diesel-elektrik buatan Jerman yang dilancarkan pada 1983 ketika ahli keluarga anak kapal menunggu lebih seminggu selepas ia hilang.

Ahli keluarga optimis sehingga Khamis. Air mata mula mengalir dan mereka mencaci pihak berkuasa selepas dimaklumkan mengenai kemungkinan berlaku letupan. Mereka diberitahu mengenai parkara itu sebelum pengumuman dibuat.

Balbi berkata, berita mengenai bunyi yang tidak normal itu adalah konsisten dengan laporan bersingan yang diterima pada Rabu menganai ‘akustik tidak normal’ di kawasan yang sama dan pada masa yang hampir sama. San Juan berada kira-kira 430 kilometer dari pantai Patagonia apabila ia menghantar isyarat terakhir.

“Ini sangat penting kerana ia membolehkan kami menyambung dan mengesahkan bunyi yang tidak normal ini dari laporan Amerika Syarikat semalam,” kata Balbi. “Kita bercakap mengenai satu (bunyi) yang pendek, ganas dan bukan nuklear, konsisten dengan letupan,”.

Di Vienna, jurutera hidroakustik CTBTO, Mario Zampolli berkata, isyarat yang dikesan agensinya ‘mungkin konsisten dengan satu letupan tetapi tiada kepastian mengenainya’. Bercakap kepada Reuters, beliau bersetuju dengan pendapat Balbi mengenai isyarat yang tidak biasa dan pendek itu sambil menambah puncanya bukannya sesuatu yang biasa berlaku.

Kapal selam itu dalam perjalanan dari Ushuaia, bandar paling selatan di dunia ke Mar del Plata, yang terletak 400 kilometer dari Buenos Aires apabila dilaporkan mengalami masalah elektrik sebelum hilang.

Beberapa ahli keluarga mempersoalkan pihak berkuasa membenarkan anak kapal menggunakan kapal selam yang telah berusia itu.

Pihak berkuasa berkata, tahap penyelenggaraaan, bukannya usia, yang penting dan kapal selam itu berada dalam keadaan baik. – Agensi