Sekurang-kurangnya tiga dikhuatiri maut dalam satu kemalangan keretapi di Utara Uttar Pradesh, India awal pagi tadi.

MUMBAI – Sekurang-kurangnya tiga maut manakala 10 tercedera dalam satu kemalangan kereta api di utara India pada pagi Jumaat.

Reuters melaporkan semasa kejadian, tren Vasco Da Gama Express itu dalam perjalanan dari Patna sebelum 13 gerabak penumpang tergelincir berhampiran stesen keretapi Manikpur kira-kira pukul 4.18 pagi, kata Kementerian Pengangkutan Keretapi.

Menteri Keretapi, Piyush Goyal telah mengumumkan pampasan sebanyak RM31,800 atau 500,000 rupees untuk setiap keluarga mangsa terjejas dalam insiden itu.

Bagaimanapun punca kejadian yang berlaku di Utara Uttar Pradesh itu tidak dimaklumkan.

Agensi berita Televisyen ANI memetik kenyataan Ketua Polis Tambahan Uttar Pradesh sebagai berkata punca kemalangan keretapi itu berkemungkinan disebabkan oleh keretakan pada landasan keretapi “mengikut penilaian tempatan”.

India dilihat sebagai negara yang sering dilanda kemalangan kereta api sejak 12 bulan lalu.

Pada Ogos lalu, tiga kemalangan berasingan melibatkan rangkaian keretapi keempat terbesar dunia mengakibatkan 165 orang tercedera dan beberapa orang maut.

Insiden terburuk berlaku pada 19 Ogos lalu di Uttar Pradesh yang menyebabkan 23 penumpang terbunuh menyebabkan tiga pegawai kanan jabatan kereta api dipecat.

Perlanggaran antara kereta api di Uttar Pradesh pada November turut menyebabkan 150 orang maut.

Rangkaian kereta api di India sedang dalam proses modenisasi bertempoh lima tahun dengan kos bernilai AS$130 bilion.

Sebagai tambahan kerajaan India juga melancarkan dana sebanyak AS$15 bilion untuk menambahbaik aspek keselamatan kereta api pada Februari lalu selepas beberapa kemalangan yang didakwa berpunca daripada kecacatan landasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast