Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal pada kawasan-kawasan yang dijangka berlakunya banjir tujuh hari lebih awal atau lima hari lebih awal dan tiga hari lebih awal.

KUALA LUMPUR – Pasukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah bersiap sedia dan berada di kawasan-kawasan banjir dan lokasi berpotensi berlakunya bencana itu di negeri-negeri Pantai Timur untuk menyelaras keperluan pemindahan dan bantuan kepada mangsa banjir.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah itu diambil berikutan amaran awal telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai keadaan cuaca dan risiko kemungkinan berlaku banjir.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran awal pada kawasan-kawasan yang dijangka berlakunya banjir tujuh hari lebih awal atau lima hari lebih awal dan tiga hari lebih awal.

“NADMA telah berada di kawasan-kawasan berkenaan dan mereka telah menyelaraskan dengan semua agensi berkaitan dalam menyediakan bantuan yang sesuai,” katanya kepada Bernama di bangunan Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya perkembangan dan kesiapsiagaan kerajaan untuk menghadapi banjir di negeri-negeri Pantai Timur.

Timbalan Perdana Menteri berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kini berada di kawasan banjir berkenaan bagi memantau serta melakukan penyelarasan usaha-usaha pemindahan.

Menurut laporan keadaan banjir di negeri-negeri Pantai Timur, sebanyak 2,459 mangsa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan di Kelantan manakala seramai 1,173 mangsa dipindahkan di Terengganu setakat tengah hari tadi.

— BERNAMA