Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat, 50, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan dari dua syarikat kontraktor.

PULAU PINANG – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zakat Pulau Pinang (ZPP), Datuk Azman Abdul Samat, 50, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menerima suapan dari dua syarikat kontraktor.

Azman yang juga bekas Pengurus Besar ZPP dituduh menerima rasuah berupa dua keping cek yang bernilai RM9,000 daripada dua pemilik syarikat di pejabat ZPP di Bandar Perda, Bukit Mertajam pada Januari 2014 dan Disember 2016.

Mengikut pertuduhan pertama, Azman didakwa menerima cek Hong Leong Bank bernilai RM5,000 daripada pemilik syarikat MW Global Trading, Mohd. Wardi Ramli pada Januari 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima cek Hong Leong Islamic bernilai RM4,000 daripada Ashri Ismail yang juga pemilik syarikat AI Global Trading antara 28 Disember dan 30 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu yang memperuntuk hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz membenarkan Azman dibebaskan dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu pengurusan kes pada 29 Disember ini untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Ghazali Muhamad Nadzri manakala Azman diwakili peguam Mohamed Reza Rahim.

Pada 19 dan 21 Julai lalu, Azman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima rasuah berupa tiga utas jam tangan bernilai RM3,450 daripada tiga kontraktor.

Beliau juga dihadapkan ke mahkamah di sini atas pertuduhan menerima rasuah seutas jam tangan bernilai RM1,280 daripada seorang pemilik syarikat.

Bagaimanapun, beliau juga mengaku tidak bersalah bagi kesemua tuduhan rasuah tersebut. – MalaysuaGazette