KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersiap sedia menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan negara untuk menyumbang peranan yang sewajarnya dalam isu Baitulmaqdis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ATM menghadapi sebarang kemungkinan dalam isu Baitulmaqdis.
“ATM sentiasa bersiap-siaga, menunggu isyarat dan arahan daripada pucuk pimpinan dan payung negara untuk menyumbang peranan yang sewajarnya.
“Saya yakin, sebagai Menteri Pertahanan, apa jua arahan daripada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, akan terus kami junjung. Panglima Angkatan Tentera dan ATM pastinya sudah siap siaga,” katanya sebagai Naib Presiden UMNO ketika ucapan pengulungan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC di sini.
Menurut Hishammuddin, tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel merupakan tamparan hebat kepada seluruh dunia Islam.
“Marilah kita berdoa dan terus berdoa agar konflik ini tidak membawa ke ambang kemusnahan. Ingatlah, mereka merancang, Allah jua merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang,” ujarnya. – MalaysiaGazette