Gelagat seorang kanak-kanak mengangkat bendera Palestin sebagai tanda bantahan pada Demonstrasi Bantahan Cadangan Baitulmaqdis sebagai Ibu Kota Israel di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 08 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Isu Baitulmaqdis sepatutnya diselesaikan berlandaskan undang-undang antarabangsa yang adil bukan menerusi pengisytiharan kota itu sebagai ibu negara Israel, demikian kata Kementerian Luar Rusia menerusi kedutaannya.

Kenyataan tersebut berkata usaha penyelsaian konflik ini termasuklah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perhimpunan Agung PBB.

“Russia amat gusar dengan keputusan Washington,” katanya yang turut menyifatkan bahawa tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengisytiharkan baru-baru ini akan memberi kesan lebih buruk kepada usaha damai antara dua pihak.

Kementerian itu dalam masa yang sama turut berharap agar isu Baitulmaqdis diselesaikan menerusi rundingan dua mata di antara Israel dan Palestin.

“Dalam konteks ini, kami menyeru semua pihak, melaksanakan kawalan kendiri dan mengelak daripada tindakan yang boleh menyebabkan akibat buruk hingga sukar dikawal.

“Perhatian khusus harus diberikan untuk memastikan semua penganut memperoleh akses masuk ke tempat suci mereka di Kota Lama Jerusalem,” jelasnya.

Russia sebelum ini pernah mencadangkan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota negara Palestin kelak dan Baitulmaqdis Barat sebagai ibu negara Israel.

Katanya, sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan anggota aktif dalam Kuartet Asia Barat, Russia akan terus membantu Palestin dan Israel dalam usaha mereka mencapai perjanjian damai.

Kenyataan tersebut dalam pada itu berkata lagi, Russia menegaskan prinsip mengenai isu itu tidak berubah iaitu mempromosi penyelesaian Palestin-Israel agar keamanaan dalam dikecapi Israel selain memastikan kewujudan negara Palestin secara bebas. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast