Home Utama SKMM siasat laporan terhadap Zaid, TMI – Salleh

SKMM siasat laporan terhadap Zaid, TMI – Salleh

Datuk Seri Salleh Said Keruak
Datuk Seri Salleh Said Keruak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan terhadap portal berita The Malaysian Insight (TMI) sekiranya mereka didapati melakukan kesalahan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan terhadap portal tersebut.

“Saya juga dengar ucapan wakil Umno Pulau Pinang. Laporan telah diterima, ke atas TMI.

“SKMM siasat laporan itu. Jika ia langgar akta yang ada, sudah tentu kita akan buat siasatan dan kita akan beri laporan pada pihak yang berkenaan ambil tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di PWTC hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan wakil Umno Pulau Pinang yang mahu pihak berkuasa membuat siasatan terhadap TMI kerana laporan portal itu yang didakwa menghina kepimpinan negara.

Mohd Nashrol Hisham Abdullah dari Umno Bahagian Tasek Gelugor berkata, carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menemui nama pengarah syarikat tersebut.

“Ada satu portal yang hina pemimpin kita, yang hina kerajaan kita, yang menyerang pemimpin kita, perdana menteri kita, presiden kita.

“Pihak berwajib jangan bagi ini berlaku, cari sampai lubang cacing. Jangan biar perkara ini berlaku kerana hina pemimpin kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh berkata, SKMM akan bekerjasama dengan polis untuk menyiasat kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim.

Menurut Salleh, pihaknya akan bekerjasama dengan polis bagi menyiasat bekas menteri undang-undang itu.

“Kita kerjasama dengan polis, untuk siasat apa yang dilakukan. Sudah tentu, jika undang-undang telah dilanggari tindakan akan diambil sewajarnya,” katanya mengulas gesaan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Md Jamal Yunos yang menggesa SKMM ambil tindakan terhadap Zaid.-MalaysiaGazette