Home Nasional Syamsul Debat beri laluan perwakilan lain, nafi ‘digam’ berbahas

Syamsul Debat beri laluan perwakilan lain, nafi ‘digam’ berbahas

KUALA LUMPUR – Ketiadaan Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat di Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) pada kali ini sudah tentu menimbulkan tanda tanya.

Namuan beliau sendiri selaku wakil UMNO Seremban yang sebelum ini sering mencuit hati ahli UMNO di dewan keramat tampil menangkis dakwaan ketiadaannya kali ini kerana ‘digam’ daripada berbahas selaku perwakilan pada tahun ini.

Jelasnya, pada perhimpunan kali ini beliau memberi laluan kepada perwakilan lain sebagai jurucakap Negeri Sembilan.

“Ada orang memuat naik status di Facebook kata saya kena banned (digam) daripada menjadi perwakilan.

“Itu tak betul sebab saya memang dipilih untuk berucap tahun ini tetapi mengambil keputusan memberi laluan kepada orang lain.

“Tidak timbul isu saya dihalang daripada berucap dan secara tidak langsung memberi saya kesempatan mencari material baru dan membaiki cara penyampaian sekiranya diberi peluang berucap pada perhimpunan tahun depan,” katanya yang kini menghadiri program ceramah di Kota Tinggi.

Tahun lalu, gaya bersahaja Syamsul Debat yang mewakili Negeri Sembilan menarik perhatian selepas menegur perwakilan UMNO ketika membahaskan usul agama dan pendidikan hingga menggamatkan Dewan Merdeka.

Teguran dan nasihat disulami sindiran halus menggunakan loghat Negeri Sembilan, termasuk meniru gaya percakapan pelakon silam, Allahyarham Nordin Ahmad ketika menyentuh situasi ekonomi negara ketika ini, turut diingati hingga kini.

Malah, rakaman ucapannya pada perhimpunan itu menjadi viral di media sosial dan ditonton lebih satu juta kali di YouTube.

Tahun ini, Negeri Sembilan diwakili Mohd Syukri Shamsudin bagi membahaskan usul agama dan pendidikan.

Dalam pada itu, daripada pengamatan Syamsul, PAU kali ini khususnya dari aspek perbahasan amat menarik kerana pembahas mengutarakan pelbagai isu yang dekat di hati rakyat. -MalaysiaGazette