Home Ekonomi RM113.5b pelaburan diluluskan sepanjang Jan-Sept

RM113.5b pelaburan diluluskan sepanjang Jan-Sept

KUALA LUMPUR – Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM113.5 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Jumlah itu lebih rendah berbanding kelulusan sebanyak RM154.3 bilion yang diberikan pada tahun lalu.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, pelaburan itu membabitkan 3,886 projek dan menjana 91,500 peluang pekerjaan.

Penurunan itu disumbangkan oleh jumlah pelaburan yang diluluskan lebih rendah sebanyak 37.6 peratus dalam sektor perkhidmatan, selari dengan kelembapan dalam pasaran hartanah yang dijangka berlanjutan sehingga akhir tahun ini.

Sektor pembuatan juga merosot 15.5 peratus.

Meskipun sederhana, strategi Malaysia meleakkan syarikat-syarikat tempatan sebagai pemacu utama pertumbuhan negara berjaya,

Lebih daripada 73.5 peratus daripada pelaburan yang diluluskan adalah daripada sumber-sumber tempatan, dengan pelaburan asing yang membentuk selebihnya.

Malah, semasa tempoh itu, syarikat Malaysia menjadi peneraju dalam semua sektor utama – pembuatan, perkhidmatan dan perkhidmatan utama.

Komponen pelaburan domestik yang diluluskan lebih tinggi sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan pada masa hadapan.

MIDA menambah, di bawah pelaburan domestik Program Transformasi Ekonomi (ETP) sebanyak 73 peratus disasarkan kepada jumlah pelaburan pada tahun 2020.

Sektor perkhidmatan pula menarik pelaburan sebanyak RM69.2 bilion daripada 3,386 projek yang menawarkan 57,884 peluang pekerjaan.

Daripada jumlah keseluruhan, 81.2 peratus atau RM56.2 bilion adalah dari sumber domestik dan baki 18.8 peratus atau RM13.0 bilion dari luar negara.

Sementara itu, sejumlah 464 projek pembuatan bernilai RM35.0 bilion telah diluluskan dalam sembilan bulan pertama tahun ini dengan lebih daripada 32,700 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

Majoriti pelaburan ini termasuk dalam produk petroleum termasuk petrokimia (RM12.4 bilion), elektronik dan elektrik (RM8.8 bilion), kimia dan produk kimia (RM2.7
bilion), mineral bukan logam (RM2.5 bilion) serta saintifik dan peralatan mengukur (RM2.0 bilion).

Dari segi pelaburan asing, sumber utama ialah Switzerland, Belanda, Singapura, Hong Kong dan Jerman, yang menyumbang 63.4 peratus daripada jumlah keseluruhan asing pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan untuk tempoh ini. – MalaysiaGazette