KUALA LUMPUR – Anggota kumpulan UNIC akhirnya dilepaskan daripada tahanan pihak berkuasa di Syria selepas disoal siasat hampir 15 jam.

Perkara itu dimaklumkan menerusi Instagram rasmi kumpulan berkenaan sebentar tadi.

Kumpulan nasyid berada di negara bergolak itu sejak beberapa hari lalu kerana misi kemanusiaan dengan kerjasama pertubuhan Muslim Care.

Sebelum ini, kecoh apabila Juara Gema Gegar Vaganza itu dilaporkan ditahan pihak berkuasa di sempadan kerana disyaki memasuki Syria secara haram.

“Kami memohon maaf atas kelewatan memaklumkan yang kami sudah selamat sampai ke Istanbul.

“Kami ditahan pihak berkuasa di sana atas prosedur rasmi operasi (SOP). Stabilizers yang kami bawa juga disyaki seperti senjata, selain memakai pakaian seragam Muslim Care.

“Silap kami juga kerana tidak melihat pasport yang tertera cop meminta dirujuk mana-mana balai polis berdekatan dalam masa terdekat,” kata kumpulan itu.

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan, berkata, apa yang terjadi kepada anggota UNIC adalah prosedur biasa yang dilakukan pihak berkuasa.

“Bagi yang kali pertama (berdepan pengalaman begini), ia mungkin dilihat menggerunkan termasuk beg yang dibawa diselongkar.

“InsyaAllah, Januari depan kami dan UNIC akan bekerjasama lagi untuk membantu misi pelarian Syria,” katanya.

Sebelum itu, kumpulan berkenaan dilaporkan ditahan di negara terbabit dan pengurusan UNIC juga mewujudkan tanda pagar #prayforunic apabila beberapa jam tidak mendengar berita daripada mereka. – MalaysiaGazette