KUALA LUMPUR – Komposer dan penyanyi terkenal tanah air, Datuk M.Nasir enggan mengulas berkenaan kontroversi ‘Siapa Mahathir?’ jadi punca beliau digam selama tiga tahun oleh kerajaan pada tahun 1996.
M.Nasir atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad ketika ditemui pemberita di MATIC berkata, isu berkenaan tidak memberi sebarang kebaikan sekiranya dibincangkan.
“Saya tak suka bincang isu ini, ia tak mendatangkan hasil,” katanya ringkas selepas sesi dialog Magnum Opus 40 Tahun M.Nasir, Kembara ke Solo di sini malam tadi.
Isu ‘Siapa Mahathir’ mula dibangkitkan semula sejak awal bulan ini apabila beberapa orang selebriti tampil membuat kritikan terhadap kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, terutama berkenaan kos sara hidup.
Sebuah portal tempatan dalam laporannya membandingkan amalan kebebasan bersuara antara pentadbiran Mahathir dan Najib.
Memetik laporan tersebut, kerajaan di bawah pentadbiran Najib lebih terbuka dalam menerima kritikan daripada mana-mana pihak termasuk golongan artis.
Bagaimanapun, ketika era pentadbiran Mahathir, M.Nasir yang dianggap kurang sopan dan digam melalui arahan Timbalan Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Drs. Suleiman Mohamed.
Tindakan gam itu diambil apabila M.Nasir bertanya ‘Siapa Mahathir?’ ketika ditanya kenapa tidak hadir pada Malam Puisi Utusan yang dirasmikan oleh Mahathir.- MalaysiaGazette
Patutlah kena gam sebab cari makan di Msia tapi tak kenal PM Malaysia, sekarang ni M Nasir kenal ke siapa PM Malaysia dah 2 penggal kot2 tak kenal lagi…