Home Utama Pelaksanaan VEP ditunda

Pelaksanaan VEP ditunda

KLUANG- Pelaksanaan Sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang dijadualkan bermula Januari ini ditangguhkan hingga perincian penyeragaman peraturannya dimuktamadkan bagi semua pintu masuk negara.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semakan perlu dilakukan semula berhubung penyeragaman peraturan berkenaan perlu dilakukan sebelum ia mula dikuatkuasakan.

“Buat masa ini, Malaysia hanya mengenakan Caj Jalan Raya (RC) sebanyak S$6.61 (RM20) terhadap kenderaan asing dari Singapura yang memasuki negara di pintu masuk di Selatan.

“Kita masih memerlukan sedikit lagi masa memperincikan penyeragaman peraturan berhubung kemasukan kenderaan asing di pintu masuk negara di Singapura dan Thailand sebelum ia (VEP) dilaksanakan.

“Apabila sudah dimuktamadkan penyeragaman peraturan itu nanti, Malaysia juga akan mengenakan RC RM20 di pintu masuk Thailand serentak dengan pelaksanaan VEP di semua pintu masuk negara.

“Bagaimanapun kita tetap yakin akan melaksanakan VEP di semua pintu masuk negara awal tahun hadapan juga selepas beberapa perkara dimuktamadkan sepenuhnya,” katanya selepas menghadiri Program Presiden MCA bersama masyarakat Paloh, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tambahnya, apabila dimuktamadkan, semua pintu masuk negara termasuk di Singapura dan Thailand akan melaksanakan VEP secara serentak.

Bulan lalu, Tiong Lai yang juga Presiden MCA berkata VEP akan mula dilaksanakan mulai Januari tahun depan.

Singapura bercadang mengenakan caj VEP berjumlah $35 (RM109.77) sehari tidak termasuk S$6.50 (RM20) yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu kepada kenderaan asing yang memasuki republik itu.

Malaysia sudah mengenakan caj RC sebanyak RM20 kepada pemilik kenderaan asing yang memasuki Johor sejak 1 November tahun lalu.- MalaysiaGazette