Aishah menjuarai program Gegar Vaganza musim keempat.

KUALA LUMPUR – Juara musim keempat Gegar Vaganza (GV4), Aishah berkata, dia hanya memberi fokus untuk menyanyi sahaja tanpa memikirkan kemenangan.

Penyanyi lagu berhantu, Janji Manismu itu berkata, kebetulan juga dia menyedari ramai generasi muda yang tidak mengenalinya sejak memasuki GV4 sejak lapan minggu lalu.

“Saya hanya mahu menyanyi. Selama ini pun sejak masuk GV4, ramai yang tidak kenal saya berbanding peserta lain yang lebih muda.

“Apa pun saya bersyukur dan kemenangan ini memberikan makna yang cukup besar. Saya harap peluang akan terus diberi untuk saya menghiburkan peminat dalam semua ruang dan medium yang ada,”  katanya dalam rakaman video di media sosial selepas konsert akhir GV4 di Pinewood Iskandar Malaysia Studio, Iskandar Puteri Johor Bahru, malam tadi.

Aishah mengalahkan lima peserta lain termasuk saingan sengit Liza Hanim dan Hazami.

Penyanyi berusia 52 tahun itu pada awal program GV4 mencetus kontroversi apabila berdepan isu tidak pereka fesyen yang mahu menaja pakaiannya.

Namun pentas final semalam pakaian Aishah ditaja oleh dua pereka fesyen tersohor iaitu Amir Kadir dan Calvin yang menampilkan personanya sebagai seorang bintang legenda.

Tambah Aishah, dia menyifatkan kejayaan merangkul gelaran juara memberi makna yang cukup besar dalam kerjaya seninya selama 30 tahun.

Pada pentas akhir itu, Aishah menyampaikan lagu All By Myself nyanyian asal Celine Dion sebagai lagu tugasan solo dan Supergirls untuk segmen battle.

Kedudukan markah:

Aishah 81 peratus

Liza Hanim 79 peratus

Lan 70.4 peratus

Hazami 70 peratus

Firman 69 peratus

Tia Jinbara 66 peratus

  • MalaysiaGazette