Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan inisiatif baharu berkaitan budaya keselamtan yang dikenali sebagai Tenaga Safety Culture (TSC).
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak menjangkakan sebarang kenaikan tarif asas elektrik sehingga awal tahun depan, kata Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Fazlur Rahman Zainuddin.

“Kami tidak menjangkakan perubahan besar. Semuanya terserah kepada kerajaan untuk membuat keputusan (tentang kenaikan).

“Biasanya keputusan mengenai tarif asas dilakukan sebelum bermulanya tempoh kawal selia yang dijangkakan pada Januari, jadi kami menjangka pengumuman itu akan dibuat pada bila-bila masa bulan ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan TNB di sini, hari ini.

Harga jualan purata semasa ialah 39.5 sen/kilowat jam.

Kadar itu disemak semula setiap tiga tahun dan semakan terakhir dibuat pada 2014.

Mengenai prospek harga arang batu, Fazlur Rahman berkata ia dijangka menyederhana dalam tempoh tiga tahun akan datang dan dijangka rendah sedikit berbanding paras tinggi semasa.

“Secara umumnya, ia akan menyederhana kerana jangkaan penggunaan arang batu tidak akan melonjakkan harga terlalu tinggi kerana pasaran beralih kepada bahan api alternatif,” katanya.- BERNAMA