Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien (dua kanan) beramah mesra dengan seorang pesakit yang juga merupakan anggota tentera, Anuar Karia (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishamuddin Hussein menyangkal dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) yang mengatakan kurang bukan Melayu menyertai tentera disebabkan oleh pembahagian mengikut garis etnik yang jelas dalam angkatan tentera.

Menteri Pertahanan itu menyifatkan dakwaan sedemikian seringkali akan diungkit oleh kumpulan yang tidak menyokong kerajaan khususnya pembangkang dan pihak yang senada dengan mereka.

“Ini perkara yang kita akan dengar selalu bila nak dekat pilihan raya. Politik berpecah, kebencian, perkauman dan agama adalah fenomena biasa dilakukan oleh pembangkang dan juga mereka yang tidak menyokong kerajaan.

“Ini sangat merosakkan dan bahaya. Saya punya nasihat kepada mereka, kalau nak main perkara berbaur perkauman dan keagamaan, politik mesti ada had dan batasan.

“Saya tahu bila dekat dengan PRU, inilah perkara yang nak dibangkitkan dengan harapan kita akan berpecah,” katanya semasa sidang media selepas lawatan mengejut ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju hari ini.

Jelasnya, ini bukan kali pertama dakwaan sebegini berlaku, malah sebelum ini pembangkang juga membuat dakwaan kononnya kapal selam tidak boleh menyelam.

“Jadi saya tahu dalam masa terdekat, macam-macam lagi, seperti kapal selam tak boleh selam dan sebagainya,” katanya.

Dalam isu Palestin pula, Hishammuddin menyeru supaya semua pihak tidak kira latar belakang politik untuk turun bersama-sama dalam perhimpunan Jumaat ini bagi menyatakan bantahan terhadap pengiiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Tak ada sebab apa kita nak buat Jumaat ini tak dapat sokongan daripada semua pihak. Kalau buat pilihan tak mahu bersama terserahlah, tapi orang akan tanya apa pendirian mereka berhubung kait isu ini,” katanya mengulas mengenai himpunan yang akan disertai oleh pemimpin UMNO dan Pas nanti itu.

Hishammuddin mengadakan lawatan hampir 40 minit dengan staf dan pesakit di hospital tersebut dan mengadakan dialog dengan mereka bagi membincangkan hala tuju dan hasrat kakitangan untuk menambahbaik mutu hospital itu. – MalaysiaGazette