Halim Ishak

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa untuk tidak memberi ‘muka’ dan mengambil tindakan undang-undang terhadap  Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Datuk R Sri Sanjeevan kerana sering tampil mengeluarkan kenyataan menjatuhkan kredibilti PDRM untuk sekian lama.

Menurut Presiden Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak, Sanjeevan sering kali mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya selain mengelirukan masyarakat umum dengan tuduhan serta fitnah yang tidak masuk akal.

Jelas Halim, intergriti dan nama baik sengaja dirosakkan oleh fitnah Sanjeevan yang ternyata mempunyai agenda tersendiri.

“PDRM tidak seharusnya membiarkan ‘ular’ seperti Sanjeevan untuk berterusan merosakkan intergriti organasasi tertua negara.

“Sebelum ini, semua bekas Ketua Polis Negara (KPN) difitnah oleh Sanjeevan termasuk Tan Sri Musa Hassan, kemudian Tan Sri Khalid Abu Bakar dan kini dalam entri terbaru Sanjeeven, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pula.

“Apa sebenarnya agenda Sanjeevan ini? Mengapa sehingga kini PDRM masih belum bertindak mengambil tindakan menyaman individu ini? Mengapa biarkan dia bermaharajalela?

“Kenapa baru-baru ini Sanjeevan boleh keluarkan kenyataan menjatuhkan Tan Sri Fuzi? Mengapa biarkan dia terlepas begitu sahaja? Siapa di sebalik individu bernama Sanjeevan ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Halim yang juga merupakan bekas Veteran Komando 69 turut melahirkan kemusykilan bagaimana Sanjeevan berjaya mendapatkan pangkat ‘Datuk’ dengan begitu senang.

“Sebenarnya apa jasa Sanjeevan kepada negara dan siapakah yang telah memberikan sokongan untuk diberikan pangkat Datuk kepadanya?

“Dalam pada itu, saya juga ingin tahu apakah sebenarnya peranan MyWatch dalam membantu polis dan masyarakat dalam menjaga keamanan? Adakah MyWatch sebenarnya telus mengikut perlembagaan? Berapa ramaikah ahli jawatankuasa dan berapa kali mesyauarat Agung diadakan? Audit akuan?

“Buatlah dengan cara berhemah jika benar-benar pentingkan rakyat. Cakap biar berdasarkan fakta” ujarnya.

Dalam pada itu, Halim menyarankan polis mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mensabotaj PDRM.

“Sebagai bekas anggota polis, sudah tentu saya terkesan dengan kenyataan dan tindakan Sanjeevan yang terang lagi bersuluh sengaja bercakap tanpa fakta.

“Sanjeevan cuba sabotaj agensi tertua negara. Jangan biarkan sesiapa untuk merosakan warga PDRM seperti ini,” tegas Halim.

Sanjeevan melalui blog http://www.srisanjeevan.com baru-baru ini kembali ‘menyerang’ PDRM dan Ketua Polis Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast