NEW YORK – Aktres kontroversi, Lindsay Lohan didapati tidak membayar cukai pendapatan yang terkumpul sebanyak AS$100,000 (RM400,000).
Menurut majalah People, cukai itu melibatkan tahun 2010, 2014 dan 2015.
Lindsay, 31, membintangi filem Machete selain membuat kemunculan dalam siri 2 Broke Girls dan program realiti, Lindsay pada tahun-tahun tersebut.
Cukai itu dikenakan hasil daripada pendapatan yang diraih daripada projek berkenaan.
Pelakon bermasalah itu kini tidak tinggal di Amerika sebaliknya memilih London dan Dubai sebagai rumah keduanya.
Pada April lalu, Lindsay mengejutkan peminat apabila tampil dengan burkini (baju renang muslimah) ketika melakukan aktiviti mendayung di Phuket, Thailand.
Dia muncul lengkap menutup kepalanya selain burkini berwarna hitam dan merah itu tidak memperlihatkan bentuk tubuhnya yang seksi.
Aktres itu berada di Thailand untuk bercuti selama dua minggu selepas berkunjung ke Dubai.
Pemakaian Lindsay itu sebenarnya tidak pelik kerana sebelum ini dia beberapa kali dilihat mengenakan tudung dan mengakui sedang mendalami al-Quran.
Dalam satu temubual sebelum ini, pelakon filem Mean Girls itu mengakui mendapat ketenangan jiwa dengan membaca Al-Quran. – MalaysiaGazette
kalau mendapat hidayah akan merasa tenang dengan al-Quran. kalau tidak al-Quran itu menyesatkannya.