Hamidah Osman.
Hamidah Osman.

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman mendakwa Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad melampau mengaibkannya dalam Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Shah Alam, minggu lalu.

Menurut Hamidah, Mahathir mengaibkan beliau apabila menggelar kepimpinan tertinggi yang bertindak keluar parti sebagai ‘sampah’.

“Tun M aibkan saya dalam Perhimpunan Agong PPBM dan disambut dengan tepukan gemuruh semua perwakilan, Tun M is too much (Tun M sudah melampau).

“Teguran daripada seorang bapa? Pernah ke bapa umumkan kepada orang ramai panggil anak “sampah?” katanya dalam Facebook rasmi beliau.

Hamidah bertindak keluar PPBM September tahun lalu sehari sebelum seorang daripada 7 pengasas PPBM, Anina Saadudin, turut meninggalkan parti itu.

Mahahtir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ahli parti yang keluar parti lebih buruk daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya akan mengatakan bahawa mereka seperti sampah, saya tidak menyesal, mereka lebih buruk daripada musuh kita, iaitu Najib, mereka telah mengkhianati perjuangan kita,” kata Dr Mahathir dalam ucapannya semasa perhimpunan agung tahunan pertama parti (AGM).

Dalam pada itu, Hamidah menjawab kritikan ramai kononnya beliau gilakan jawatan sedangkan beliau merupakan seorang Naib Presiden PPBM iaitu jawatan ketiga tertinggi dalam parti.

“Kalau jawatan yang saya gilakan perlu apa saya letak jawatan… Naib Presiden lagi,” katanya.

Bekas Ketua Wanita UMNO Gopeng itu dilantik kepada jawatan selaku Naib Presiden PPBM pada November 2016 sebaris dengan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dan bekas ahli UMNO, Datuk Abdul Rashid Asari. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.