Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Enam nelayan warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dijangka dibebaskan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, persetujuan untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara itu dicapai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lepas.

“Saya bertemu Duta Indonesia, Rusdi Kirana semalam dan ia adalah amat positif. Kedua-dua pihak kini dalam peringkat akhir proses pembebasan yang dijangka selesai dalam masa terdekat.

“Hari ini saya turut mempengerusikan satu mesyuarat penyelarasan bagi memastikan pembebasan nelayan Malaysia dan Indonesia yang ditahan di negara ini berjalan sebaiknya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil-wakil kementerian dan agensi berkaitan termasuk Kementerian Luar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada masa ini, enam nelayan Malaysia ditahan di Indonesia manakala 70 nelayan Indonesia pula ditahan di Malaysia atas kesalahan menceroboh kawasan perairan masing-masing ketika menangkap ikan.

Ahmad Shabery berkata, beliau akan ke Jakarta minggu depan bagi membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti untuk memuktamadkan status pembebasan nelayan itu. – MalaysiaGazette