Najib Razak

SUNGAI BESAR – Keluarga nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dua tahun lepas berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan pusat atas usaha pembebasan nelayan berkenaan.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebab memperjuangkan pembebasan abang sepupu saya itu.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi atas usahanya itu ,” demikian luahan Chia Jui Leng, 46, mengenai abang sepupunya, Chia Kee Chan, 50, seorang nelayan, yang bakal dibebaskan oleh pihak berkuasa Indonesia dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di sebuah restoran di Sekinchan, di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengumumkan perkara itu semalam berkata, persetujuan untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara itu dicapai Najib dan Presiden Indonesia, Joko Widodo semasa Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia pada November lepas.

Kee Chan adalah antara enam nelayan warganegara Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu dua tahun lepas.

Jui Leng berharap abang sepupunya dapat pulang secepat mungkin ke tanah air bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga Februari ini.

“Saya rasa lega akhirnya selepas dua tahun ditahan di Indonesia, saya akan dapat berjumpa dengan abang sepupu saya.

Selepas ini, tidak perlulah saya menghubunginya menerusi telefon setiap bulan untuk bertanya khabar,” katanya.

Jui Leng berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Kee Chan secara peribadi adalah pada April 2016 ketika beliau pergi sendiri ke Penjara Labuhan Deli, Medan, Indonesia untuk menemui abang sepupunya itu.

“Beliau yang sedang menjalani hukuman penjara memberitahu saya bahawa ada beberapa botnya hilang ketika pihak berkuasa Indonesia menahannya pada Mac 2015 dan mahu ia diserahkan semula kepadanya,” katanya

Jui Leng, yang juga seorang nelayan berpangkalan di Sekinchan selama hampir 40 tahun berkata, pembebasan abang sepupunya itu sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada keluarganya yang bergantung kepada hasil pendapatan Kee Chan sebagai nelayan. – MalaysiaGazette

Comments are closed.