Home Dunia VAT: Kakitangan awam, tentera diberi bayaran bulan SR1,000

VAT: Kakitangan awam, tentera diberi bayaran bulan SR1,000

Raja Salman

RIYADH – Raja Arab Saudi, Raja Salman memerintahkan pembayaran bulanan sebanyak SR1,000 untuk seluruh kakitangan kerajaan dan anggota tentera selama satu tahun.

Dalam perintah kerajaan yang dikeluarkan, Raja Salman turut mengumumkan beberapa elaun dan pengecualian lain daripada cukai nilai tambah (VAT) untuk sebahagian rakyat untuk meringankan beban mereka.

Arab Saudi memperkenalkan VAT pada awal tahun ini sebagai transformasi ekonomi negara itu.

Dalam dikrinya, Raja Salman turut memerintahkan bayaran sebanyak SR5,000 dibuat kepada kakitangan tentera yang bertugas di Yaman.

Elaun baru yang diumumkan itu sejajar dengan cadangan Putera Mahkota Muhammad Bin Salman, timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan, menurut agensi berita Arab Saudi.

Raja Salman mengarahkan bonus tahunan untuk kakitangan awam dan tentera negara itu dibayar untuk tahun fiskal semasa dan pembayaran berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Elaun bulanan SR500 untuk pesara selama satu tahun dan akan ditambah dalam pencen yang diagihkan oleh Agensi Pencen Awam dan Pertubuhan Am untuk Insurans Sosial (GOSI).

Raja Salman juga mengarahkan peningkatan 10 peratus dalam bayaran kepada penuntut lelaki dan perempuan selama satu tahun.

Menurut perintah diraja, negara akan menanggung cukai nilai tambah (VAT) untuk jumlah yang tidak melebihi SR850,000 sebagai bahagian daripada harga rumah pertama yang dibeli oleh rakyatnya.

Arab Saudi juga akan menanggung VAT bagi warga negaranya yang mendapat manfaat dari perkhidmatan kesihatan dan pendidikan swasta. – MalaysiaGazette