Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tengah) menyerahkan replika cek kepada Guru Besar SJK (T) Persiaran Raja Muda Musa Selangor, Thamilarasu Subramaniam (kiri) sambil diperhatikan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk P Kamalanathan (kanan) pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Khas Perdana Menteri kepada 7 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Menara Usahawan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 08 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sekali lagi membuktikan keprihatinan terhadap pendidikan masyarakat India apabila memperuntukkan dana sebanyak RM1.8 juta bagi tujuan pembinaan tujuh pra Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) hari ini.

Pembinaan tersebut yang dikelolakan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) dan dibantu Yayasan Rakyat 1Malaysia itu turut memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi tujuan pembelian perabot untuk sekolah-sekolah yang terbabit.

Menurut Presiden MIC merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam, peruntukan besar itu bagi membantu menaik taraf sekolah Tamil menjadi bukti keprihatinan kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Segala jenis bantuan terus disalurkan melalui inisiatif Datuk Seri Najib Tun Razak membantu pembangunan sekolah Tamil di negara ini.

“Dana-dana yang disalurkan oleh SEDIC kepada badan bukan kerajaan melalui program-program tertentu untuk sekolah Tamil juga sedikit sebanyak membantu.

“Kerajaan menerusi kepemimpinan Perdana Menteri sentiasa prihatin dengan pendidikan masyarakat India yang terbukti menerusi peruntukan besar disalurkan untuk membaik pulih 524 SJKT di seluruh negara.

“Kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf sekolah SJKT lama dimulakan sejak tahun 2009 tetapi untuk tahun 2015 dan 2016 sahaja kementerian memperuntukkan sebanyak RM66.5 juta membabitkan 300 sekolah,” katanya kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu termasuk Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Seri P. Kamalanathan dan Ketua Pengarah SEDIC, Datuk Dr. N.S. Rajendran.

Antara sekolah yang menerima bantuan tersebut termasuk SJKT Seaport, SJKT Ladang Senawang, Negeri Sembilan, SJKT Ladang Henrietta, Kedah, SJKT Klebang, Perak, SJKT Pasir Gudang, Johor, SJKT Supramaniya Barathee, Pulau Pinang.

Dasar penjimatan kos, pihak Yayasan Rakyat 1Malaysia dan SEDIC dapat menambah sebuah lagi pembinaan pra sekolah iaitu SJKT Ladang Bukit Bertam dan menjadikan keseluruhan sebanyak 7 buah pra sekolah sebagai penerima peruntukan khas tersebut.

Pada tahun lepas sahaja,  kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta bagi kerja penyelenggaraan dan naik taraf 157 SJKT manakala RM10 juta untuk pembinaan 50 bilik baharu prasekolah aliran berkenaan.- MalaysiaGazette