Harry Tan Huat Hock

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar merujuk kepada pengetua atau pentadbir sekolah sekiranya mereka menghadapi masalah dengan seseorang guru di sekolah anak mereka.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan berkata, ia merupakan langkah yang perlu mereka dilakukan daripada terus mengambil tindakan drastik melibatkan undang-undang.

Katanya, langkah itu juga boleh memberi peluang untuk mencari jalan penyelesaian yang baik kepada kedua-dua pihak tanpa perlu dipanjangkan.

“Kita akui cikgu bukan malaikat, kita juga manusia biasa, kalau silap kita bagi peluang, kita betulkan keadaan…mungkin bayar bil perubatan dan sebagainya. Tak perlu pergi kepada polis atau buat laporan sampai mahkamah,” katanya pada sidang mengenai Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di Wisma NUTP di sini, hari ini.

Tan berkata demikian ketika diminta mengulas situasi yang dialami seorang guru Noor Idzahril Ahmad, 52, yang didakwa mencederakan anak muridnya pada Ogos tahun lalu.

Pada 11 Disember lalu, Noor Idzahril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di Kelas 3 Bestari Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Nibong Tebal di sini pada 10 pagi 2 Ogos tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes itu mendapat perhatian selepas seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan, Azizan Manap turut dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban 19 Disember lalu atas pertuduhan serupa.

Sementara itu, Tan menegaskan, NUTP tidak akan melindungi mana-mana guru yang didapati bersalah kerana mengasari anak muridnya secara tidak wajar.

Bagaimanapun katanya, jika kekasaran yang dilakukan oleh guru adalah bagi tujuan mendidik anak muridnya, maka guru berkenaan perlu dilindungi.

Katanya, disebabkan itu NUTP mencadangkan supaya kod Etika Ibu Bapa/Penjaga ini diambil perhatian oleh Kementerian Pendidikan untuk diguna pakai di sekolah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast