Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima penyerahan Pernyataan Komitmen dari wakil anak angkat MCPF, Muhammad Daniel Hakimi Abd Rahim (dua kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 09 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Langkah blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri mereka yang disifatkan calon kitar semula menerima sindiran ucapan tahniah daripada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah pembangkang mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon mereka adalah keputusan tepat dan ia akan memberi peluang kepada bekas perdana menteri selama 22 tahun itu mengulangi kesalahan-kesalahan yang dilakukannya sebelum ini.

“Resolusi yg dibuat PH dalam himpunan mereka adalah resolusi yang tepat, cukup baik dan kena pada tempatnya kerana tokoh itu adalah tokoh yang cukup berjasa kepada negara selama 22 tahun.

“Dan Insyaallah jika dia diberikan tempat semula maka kesalahan-kesalahan terdahulu akan diulangi oleh beliau,” kata beliau semasa sidang media rasmi selepas merasmikan Konvensyen Pendidikan Pencegahan Jenayah di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.

Jelas beliau, keputusan pembangkang itu menunjukkan mereka tidak ada tokoh lain yang lebih layak sehingga terpaksa memilih pemimpin kitar semula yang sebelum ini banyak melakukan banyak kerosakkan kepada negara.

“Itu adalah satu kitar semula yang memang sedang ditunggu-tunggu oleh rakyat untuk melihat bahawa tidak ada tokoh lain yang lebih layak dalam PH selain tokoh yang cukup berjasa kepada negara untuk terus melakukan kerosakan dan kebejatan kepada negara,” katanya lagi.

Pada Ahad baru-baru ini, pembangkang mengesahkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka dalam perhimpunan Konvensyen PH.

Bagaimanapun, selepas pengumuman tersebut kritikan daripada pemimpin akar umbi PH semakin kuat yang menolak pencalonan Dr Mahathir. – MalaysiaGazette

Comments are closed.