Presiden Persatuan Veteran ATM, Senator Laksamana Tan Sri Mohd Anwar Mohd Noor bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Replika Cek kepada untuk derma tabung pahlawan Persatuan Veteran ATM di Parlimen, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor mendesak agar Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Ismail Mina memperbetulkan fakta beliau bahawa hanya kaum Melayu yang berjuang mempertahankan negara dalam menentang komunis dan musuh negara lain.

Justeru itu katanya, selaku pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam, Ismail perlu segera berbuat demikian supaya tidak mengubah sejarah perjuangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di era darurat dahulu.

“Semasa darurat 1 dan darurat 2, Angkatan Tentera Malaysia yang terdiri daripada semua kaum di Malaysia telah berjuang dalam beberapa operasi menentang ancaman komunis.

“Jadi tidak wajarlah kalau Ismail Mina tidak mengiktirafkan pengorbanan kaum lain yang sama sama diaturgerak mengalas senjata dan menjadi perisik negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ismail membuat kenyataan bahawa dalam Konvensyen Kebangkitan Ummah Sabtu lalu, berdasarkan sejarah, bangsa Melayu sebelum ini telah dibunuh oleh PKM yang dikenali sebagai ‘bintang tiga’.

Justeru itu, Presiden Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (Macva), Mejar Tan Pau Son menepis dakwaan Ismail.

Jelas Pau Son, ketika darurat terdapat beberapa pejuang bukan Melayu yang menentang Parti Komunis Malaya (PKM) antaranya Templers’12.

Antaranya individu terlibat adalah Jeneral Mejar Lai Chung Wah, Jeneral Mejar Leong Siew Ming, Leftenan Kolonel Khong Kim Kong, Leftenan Kolonel Peter Ng Boon Hwa, General Mejar N. Selvarajah. – MalaysiaGazette