Mahfuz Omar
Mahfuz Omar

KUANTAN – Sebanyak 124 laporan polis dibuat terhadap Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering, dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang SAC Othman Nanyan berkata sehingga pukul 3 petang ini sebanyak 121 laporan polis telah dibuat di negeri ini, manakala tiga lagi laporan dibuat dari luar.

“Laporan polis terhadap dakwaan itu mula diterima pada 14 Januari di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran daripada jumlah itu sebanyak 30 laporan dibuat di daerah Maran, Bentong (24 laporan), Pekan (18), dan Kuantan (17).

“Manakala di Temerloh sebanyak 12 laporan telah diterima, Raub (11), Jerantut (lima), Lipis (dua) dan masing-masing satu di Rompin dan Cameron Highlands,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, tiga laporan berhubung dakwaan berkenaan turut diterima dari luar Pahang iaitu Shah Alam, Petaling Jaya dan Brickfields.- BERNAMA